Monday, November 3, 2008

Siri 1 ( Pendirian Islam Terhadap Penglibatan Wanita Dalam Sektor Umum )

Muqaddimah

Wanita merupakan di antara aset yang terpenting dalam pembangunan sebuah Negara.Ianya tidak dapat dinafikan bahawa mereka juga berperanan dalam menggerak jentera bagi memastikan kaum mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.

Ini dibuktikan oleh kaum wanita di zaman Nabi SAW yang mana mereka berperanan dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan pendidikan.

• Saidatina Khadijah r.a sendiri yang merupakan jutawan pada ketika itu yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Nabi SAW dalam mengurus perniagaannya.

• Saidatina Aisyah r.a merupakan pendidik bukan sahaja untuk kaum wanita, malah beliau beberapa kali di datangani oleh sahabat – sahabat lelaki untuk mendapat pandangan dan penjelasan.

• Asma’ binti Abu Bakar r.a yang sanggup merentasi padang pasir yang panas terik untuk memberi makanan kepada ayahnya sendiri dan Nabi SAW semasa hijrah Nabi SAW ke Madinah Munawwarah.

Oleh yang demikian, sejarah tidak dapat menafikan keterlibatan secara langsung kaum wanita untuk berganding bahu dengan kaum lelaki seiring dengan perintah Allah SWT dan peraturan – peraturan yang terdapat dalam Syariat Islamiah.

Pun begitu, walaupun berperanan besar bersama kaum lelaki tetapi mereka menjaga batas – batas dan adab – adab pergaulan sepertimana yang dijelaskan di dalam al Quran dan pesanan daripada Nabi SAW.

Jika di perhatikan pada masa kini, musuh Islam cuba untuk menimbulkan keraguan dan melemparkan tuduhan terhadap umat Islam sendiri khususnya kepada kaum wanita di antaranya :

( a ) Islam mendiskriminasikan kaum wanita
( b ) Tidak mengiktiraf kedudukan kaum wanita

Justeru dapat dilihat mereka menuntut beberapa perkara yang besar tehadap kaum wanita antaranya :

( a ) Pembebasan wanita
( b ) Wanita setaraf dengan lelaki

Dengan tegasnya, Islam menjelaskan prinsip – prinsip dan pendirian terhadap kaum wanita, Islam tidak pernah sama sekali mendiskriminasikan kaum wanita bahkan memberi hak yang adil kepada mereka berdasarkan al Quran dan as Sunnah.

No comments: